Wednesday, September 11, 2013

Kaedah Bacaan Al-Muttaqin

Kaedah bacaan ini merupakan satu inovasi di dalam usaha untuk membina ketaqwaan dan keimanan umat Islam terhadap penghayatan mesej-mesej yang terdapat di dalam Al-Quran. Kaedah bacaan ini bukan bermaksud untuk membatalkan pendidikan Al-Quran sedia ada, tetapi merupakan satu inisiatif murni untuk mengeskstrak teknologi yang sememangnya telah termaktub di dalam Al-Quran sendiri.

Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian
Al-Isra’:82

Berdasarkan firman Allah di atas, jelas membuktikan secara khusus bahawa Al-Quran merupakan “ubat” atau medium rawatan serta membawa kebaikan bagi mereka yang meyakini bahawa Al-Quran benar-benar mukjizat. “Penyakit” yang dimaksudkan pula bukan mencakupi penyakit zahir yang untuk tubuh badan manusia malahan mempunyai makna yang lebih besar.
· Penyakit Sosial
· Penyakit Ekonomi
· Penyakit Dunia
· Penyakit Jiwa
· Penyakit Hati

Dan pelbagai jenis “penyakit” yang sebenarnya merupakan masalah utama masyarakat Islam di dunia pada hari ini. Walaupun begitu, berapa ramai yang benar-benar tadabbur ayat-ayat Allah sebagai wahyu-wahyu yang menghidupkan. Satu petikan daripada Al-Ustadz DR. Nasir Al-Umar mengatakan, ‘Sesungguhnya Al-Qur’an adalah kehidupan jika manusia itu berakal, karena hidup yang hakiki adalah yang berjalan sesuai dengan manhaj Al-Qur’an, jika tanpa manhaj Al-Qur’an maka bukanlah hidup walaupun manusia melihatnya seperti hidup, Allah Ta’ala berfirman :

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian Dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu Dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan”. (Al-An’aam:122)

Kehidupan yang seperti tiada Roh itulah yang menyebabkan masyarakat pada hari ini hilang jati diri dan semangat Islami. Jiwa itu hanya dilihat di bulan Ramadhan sahaja. Selepas daripada itu, kita menyalahkan syaitan yang dilepaskan daripada Neraka sekiranya keadaan “berpenyakit” kembali. Dan umat Islam menghabiskan sisa 11 bulan setiap tahun dengan “membunuh Jiwanya sendiri”.

Rasululullah S.A.W menggunakan aplikasi wahyu-wahyu yang sama di dalam Al-Quran untuk membina modal insan yang benar-benar berkiblatkan Allah Yang Maha Pencipta. Segala penyakit ketamadunan Dunia benar-benar dirawat. Bermula daripada penyakit sistem keluarga, sistem pendidikan, sistem ekonomi sehinggalah sistem kenegaraan, semuanya diubati melalui kaedah Tadabbur Tafaqquh dan Tabayyun yang dipimpin oleh Allah Ta’ala. Konsep terpimpin yang dimaksudkan terkait rapat dengan penurunan Al-Quran dengan cara Asbabun Nuzul atau sebab-sebab turunnya Al-Quran. Perlaksanaan Al-Quran sehingga wahyu terakhir sebenarnya tidak terhenti disitu. Legasi kepimpinan wahyu diteruskan walaupun Rasulullah telah wafat oleh Khalifah Ar-Rasyidin dan seterusnya. Peristiwa-peristiwa demi peristiwa yang menggariskan tentang Sejarah Islam tercipta dan merupakan satu ketetapan Ilahi yang tidak boleh disangkal.

TAKWIM HIJRAH : Satu Teknologi Pengurusan Masa.
Kalendar Islam secara rasminya digunakan oleh Khalifah Umar R.A. sewaktu pemerintahan beliau. Adakah Takwim Hijriah satu ciptaan manusia atau sebenarnya strategi Allah buat hamba-Nya yang benar-benar beriman dengan Allah dan Rasul-Nya? Umar adalah seorang Huffaz dan segala keputusan Ilham beliau adalah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah serta keputusan Syuro. Beliau tidak akan membuat sesuatu yang pastinya akan mengundang kekeliruan umat Islam. Konsep Takwim Hijriah ini dilakukan semata-mata kerana kesatuan Umat Islam. Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah merupakan asas perkiraan kalendar pada zaman beliau. Walaupun begitu, asas Takwim Hijriah sebenarnya berlaku di zaman Rasulullah lagi sewaktu tahun ke 9 H. Allah sudah merancang lebih awal sebenarnya untuk kita mengambil pelajaran. Untuk menetapkan penggunaan Tarikh Hijrah, Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / takwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Bertepatan dengan wahyu Allah di dalam surah At-Taubah, 9:36-37 yang turun pada tahun ke-9 Hijrah:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”(9:36)
Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”(9:37)

Perkara ini menjelaskan penetapan pengiraan masa dan kalendar Islam telah dimulakan seawal tahun ke-9 Hijrah, bukan sewaktu pemerintahan Umar R.A. Satu keadaan yang akan membuktikan Takwim Hijrah sebenarnya adalah Ilham Allah untuk hamba-Nya yang memerhatikan. Khalifah Umar hanyalah seorang pemimpin yang menguatkuasakan sistem ini.

Ketetapan Allah berlaku selari dengan petunjuk yang Rasulullah laksanakan berdasarkan wahyu. Ini memberikan kita petunjuk bahawa Rasulullah melakukan sesuatu tindakan selepas Hijrah berdasarkan ketetapan MASA yang teratur dan terperinci sehinggalah baginda mampu membaiyinatkan sebuah peradaban agung Islam yang merangkumi sistem kehidupan yang mengikut landasan Syariah. Ketetapan masa yang dimaksudkan adalah Takwim Hijrah / Islam yang pada hari ini semakin dipinggirkan.

Tidakkah kamu perhatikan, bahwa sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan hak? Jika Dia menghendaki, niscaya Dia membinasakan kamu dan mengganti(mu) dengan makhluk yang baru,”(14:19)



Takwim Hijrah bukanlah satu ideologi manusia yang hanya berteraskan sembahan-sembahan duniawi. Sebaliknya merupakan Rahmat yang dikongsikan oleh yang Maha Bijaksana sebagaimana Firman Allah di dalam surah Huud ayat 11 yang bermaksud:

Alif laam raa, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu,” (11:1)


Segala penciptaan Allah dan peristiwa yang Allah atur merupakan sesuatu yang Haq termasuk pengiraan hari, bulan, dan tahun. Amat menakutkan sekiranya selama ini kita telah malakukan banyak perkara yang sebenarnya tidak menetapi masa yang Allah gariskan. Nau’zubillah. Jika zaman Uthman R.A. membukukan Al-Quran sebenarnya adalah satu ketentuan Allah SWT untuk menjadikan ukuran perlaksanaan Al-Quran lebih tersusun dan membuktikan bahawa semua yang berlaku pada hari ini merupakan satu ketetapan yang Allah telah susun dengan terperinci berdasarkan masa yang Allah sudah tetapkan. Tiada satu pun perkara atau peristiwa yang berlaku atas muka bumi Allah berlaku secara kebetulan. Inilah yang menjadi teras kepada keyakinan Qada’ dan Qadar.




Maahad Tahfiz Al-Quran - http://mtaqlilmuttaqin.blogspot.com/2013/07/kaedah-bacaan-al-muttaqin-inovasi.html?spref=fb
20 Ramadhan 1434H
Posted by MTAQ Lilmuttaqin at 07:16
 — with Mtaq Lil-Muttaqin.

No comments:

Post a Comment