IBADAH
KORBAN MENURUT PANDANGAN ISLAM
1. Korban Zaman Nabi Adam A.S (Rujuk Surah
Al-Maidah : 27- 31)
2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S
3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S
4. Korban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
A.S
5. Korban Zaman Nabi Musa A.S
6. Korban Bangsa Yunani dan Rom
7. Korban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W
PENGERTIAN KORBAN
Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang
dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.
Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal
daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga
11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah
selesai Solat Eidul Adha.
Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada
perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan
seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan
hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan
diri kepada Allah.
Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu
dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus
(hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah
sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri
dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran,
Sunnah dan ijma’ ulamak.
DALIL-DALIL MENGENAI KORBAN
i. DALIL AL-QURAN
Firman allah;
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau
(ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana
Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai
ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)
Maksudnya ;
“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu
unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan
daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ;
36)
ii. DALIL HADIS MENGENAI KELEBIHAN KORBAN
Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah
korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;
Maksudnya;
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari
Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada
menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di
hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke
atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan
tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah
olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat
Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)
Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW :
“Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”
Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu
Ibrahim.”
Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita
akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”
Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari
binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat
Ahmad dan Ibnu Majah)
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga
memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah
dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu
Majah)
(Lihat nas al-Quran Surah al-Haj : 36-37)
iii. DALIL IJMA’ ULAMAK
Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai
pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan
bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari
‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat
sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang
telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban
juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan
firman Allah;
Maksudnya;
“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan
seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)
HUKUM IBADAH KORBAN
Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu
hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.
Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah
wajib berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau
(ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada
Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat
1-2)
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah
bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan
korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad
dan Ibnu Majah)
Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan
korban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;
Maksudnya;
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan
korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW
menyatakan;
Maksudnya;
“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan
tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)
Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan
korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap
sunnah ke atas umatnya.
Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai
sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban,
sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu,
maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir
sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan
wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat
Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah
qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan
mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai
ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’
dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu
dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).
Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang
meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan
yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan
qurban tersebut, lantas baginda menjawab;
“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…”
(Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)
Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama
ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah
menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak
melakukan ibadah korban.
Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya
adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban
dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh
umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.
Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat
ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan
dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur
hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah
bahawa nabi terlah berkorban bagi pihak umatnya.
Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan
oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya,
keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang
ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi
anak-anaknya.
Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang
ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada
Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua
ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’
dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk
kedua-dua kibas tersebut.
HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN IBADAH KORBAN
1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar
yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang
digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan
anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah
Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain
daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang
sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa
Jalla.
2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan
seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya
juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja
demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan
agama Allah yang ytercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa
ikhlas dalam beribadah.
3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk
berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari
syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;
Maksudnya;
“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa
yang mengagongkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari
ketaqwaan hati.”
(Surah al-Haj : ayat 32)
5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala
nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan
kita.
6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan
dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau
mengabaikan suruhan Allah.
7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada
keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian
daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan,
mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa
yang lama.
8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini
amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan
yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada
nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.
SYARAT KORBAN DAN BINATANG YANG DIKORBANKAN
1. Binatang yang hendak dijadikan qurban itu,
hendaklah dari binatang yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit,
terpotong telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan bagi binatang
yang akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;
i. Kambing atau domba yang telah berumur satu
tahun lebih atau sudah berganti gigi
ii. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun
lebih.
iii. Unta yang telah berumur lima tahun lebih.
iv. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur
dua tahun lebih.
v. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan
tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap
dianggap sah, jika selepas disembelih didapati
haiwan ternakan itu sedang bunting.
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW
bersabda;
“ Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan
qurban, yang rosak matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai
isi.” (Hadis riwayat Muslim)
Seekor kambing hanya untuk korban satu orang
diqiaskan dengan denda meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu,
kerbau boleh dibahagikan kepada tujuh
bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah.
Sabda Rasulullah SAW;
Daripada Jabir , beliau berkata :
“Kami telah menyembelih korban bersama dengan
Rasulullah SAW, pada Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan
seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat Muslim)
Maksudnya;
Daripada Abbbas, kami pernah bersama-sama
dengan Rasululah SAW dalam satu perjalanan, ketika itu masuk hari raya qurban,
maka kami bersama-sama menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor
unta untuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’i)
2. Korban dilakukan pada waktu yang telah
ditetapkan.
Dalam Mazhab al-Maliki ditambah dua syarat
lagi, iaitu;
1. Penyembelih mestilah terdiri dari seorang
muslim, oleh yang demikian tidak sah sembelihan seorang kafir yang telah
diwakilkan oleh tuan korban kepadanya. sekiranya dia ahli kitab, maka harus
memakan daging sembelihannya.
2. Tidak boleh berkongsi beberapa orang dalam
membayar harga binatang korban, kecuali mereka terdiri daripada kaum kerabatnya
yang terdiri daripada anak-anak, adik-beradik dan anak bapa saudaranya dan
termasuk juga isteri atau suami dan ke semua mereka tinggal serumah dengannya.
WAKTU MELAKUKAN QURBAN
Waktu menyembelih qurban adalah bermula
daripada matahari setinggi tombak, pada hari Raya Haji sehingga terbenam
matahari pada 13 bulan Zulhijjah.
Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum
solat Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan
barangsiapa menyembelih korban sesudah solah Hari Raya dan dua khutbahnya,
sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati sunnah atau
aturan umat Islam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Maksud ‘Solat Hari Raya Haji’ dalam hadis di
atas adalah waktunya, bukannya solatnya, kerana mengerjakan solat tidak menjadi
syarat kepada sembelihan korban.
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
“Semua hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13
Zulhijjah), adalah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih qurban.” (Hadis
riwayat Ahmad)
PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA MENYEMBELIH
KORBAN
1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang
hendak berkorban mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari
sebelum hari korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan
ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa
bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan
sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan
sebagainya.
2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang
berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.
3. Sunat dihadapkan binatang yang akan
disembelih ke arah kiblat, sepertiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW
berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.
4. Sunat kepada orang yang berkorban
menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada
Fatimah:
Maksudnya;
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW
bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan
saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan
darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis
riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)
1. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim)
sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah
menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat
tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya
dan baginda membaca;
Maksudnya;
“ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya
Allah ini adalah (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk
berkorban dari kalangan umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)
2. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)
4. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima
oleh Allah, seperti berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau
perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)
5. Binatang yang disembelih itu hendaklah
dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut
terdiri daripada lembu dan kambing.Sabda Nabi SAW;
Maksudnya;
Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah
melakukan korban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya
sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir.” (Hadis riwayat Bukhari
danMuslim)
Ketika melakukan korban Rasululah membaca;
Maksudnya;
“Ya Allah terimalah kurban Muhammad, ahli
kelurganya dan umatnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
1. Memastikan bahawa binatang yang akan
dikorbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana
binatang tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.
2. Memastikan alat yang digunakan untuk
menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.
3. Menunggu sebentar selepas menyembelih
sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.
4. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy
dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin
melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan
Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai
ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah
dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan
dipotong) rambut dan kuku-kukunya.” (Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali
Bukhari)
PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN
1. Terdapat dua pandangan
i . Jumhur Fuqahak (Mazhab Hanafi, Malikiy dan
Hambali)
Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging
korban yang disunatkan, manakala korban nazar atau korban wajib diharamkan
untuk memakannya.
Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan
daging korban nazar dibolehkan sama seperti korban sunnah dan disunatkan supaya
mencampurkan kedua-dua korban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan
dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh sekiranya
kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi tiga hari.
1.
1. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab
Hanafi dan Hambali) dalam pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan
keluarga, 1/3 untuk kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka
terdiri daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan
miskin. Kenyataan ini berdasarkan firman
Allah;
Maksudnya;
“ Maka makanlah sebahagian daripadanya dan
(sebahagian lain) berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi
fakir.” (Surah Al-Haj : Ayat 28)
FirmanNya lagi;
Maksudnya;
Dan berilah makan kepada orang yang redha
dengan apa yang ada pada dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang
yang meminta-minta.” (Surah Al-Haj: ayat 36)
Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke
semuanya kepada orang lain, terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan
sempurna. Walau bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berkorban untuk
mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarganya sebagai
‘Tabarruk’ (mengambil bekat dari ibadah korban tersebut).
Tambahan : Menurut Mazhab daging korban juga
boleh diberikan kepada orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang
diharapkan akan memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk
menunjukkan kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.
BEBERAPA KESILAPAN DALAM IBADAH KORBAN
1. Ada beberapa golongan masyarakat yang
melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan
ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut
tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan
tersebut sebagai ‘Makruh’.
2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging
korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada
tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk,
batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai
upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging
korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi
upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak
yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar
binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.
3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan
untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan
korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap
sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya
insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan
sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT;
Maksudnya;
“Daging-daging korban dan darahnya itu,
sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan)
yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah
telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu
mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira
kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”
(Surah al-Haj : ayat 37)
4. Pembaziran daging korban. Di mana terdapat
daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi
busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak
menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila
ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita
bawa pulang.
5. Pembahagian daging korban yang hanya
ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan
mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau
setaman dengan kita.
6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke
tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian
daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan
menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya
dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah
menjejakkan kaki ke suarau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk
setempat.
SILA RUJUK :
1.
Al-Quran dan terjemahannya
Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari
hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah
datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada
kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda
bersabda:
إِنَّ اللَّهَ
قَدْ
أَبْدَلَكُمْ
بِهِمَا
خَيْرًا
مِنْهُمَا
يَوْمَ
الأَضْحَى
وَيَوْمَ
الْفِطْرِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan
kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya
Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i,
hadis no: 959.
Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya
haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal
ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di
samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya qurban (bukan korban
yer..qurban makna lain, korban lain jadi qurban lebih sesuai iaitu mendekatkan
diri kepada Allah) kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan
haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.
Ibadah qurban dilakukan sempena memperingati
kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya
Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran
serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya
dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya
itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:
"Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat
(menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan
meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan
kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau
telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya
KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian
yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang
besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang
yang datang terkemudian.” – Surah al-Soffaat: 101-108
Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika
merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang
korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik
seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan
lain-lain lagi.
No comments:
Post a Comment